Saturday, 23 July 2011

Pertembungan benua di Istanbul

 
 Istanbul di penuhi keindahan senibina dari zaman berzaman
 
Kehebatan tamadunnya bermula lebih awal berbanding kerajaan yang ada di dunia. Tanahnya menjadi saksi jatuh dan bangun empayar-empayar terhebat seperti Rom, Byzantine dan Uthmaniyyah.

Namun anda tidak akan sampai ke Turki jika terus membelek ketebalan sejarahnya. Cara terbaik untuk menyaksikan kehebatan itu adalah dengan terbang ke sana dan menyaksikannya sendiri.

Bagi yang mengagumi sejarah, Turki adalah destinasi terbaik untuk dilawati. Bahkan sehingga kini, khazanah yang tersimpan di perut buminya masih belum habis digali dengan purata 150 ekskavasi baru setiap tahun.

Turki yang mempunyai 10 bandar utama menawarkan seribu satu kepuasan khususnya keindahan seni bina lama, kehalusan budaya dan tarikan alam semula jadi.

Salah satu daripada kota yang paling dikunjungi di negara republik itu adalah Istanbul. Bandar di tepi Selat Bosphorus yang terletak di antara Laut Hitam dan Laut Marmara, bersempadan dengan Bulgaria dan Greece.

Istanbul yang dahulunya dikenali sebagai Konstantinopel dengan populasi 20 juta penduduk merupakan salah satu daripada bandar utama di Eropah. Bukan itu sahaja, ia juga satu daripada destinasi paling dikunjungi di dunia.

Tahun lalu, Kesatuan Eropah menobatkan 'jambatan' yang menghubungkan Eropah dan Asia Barat itu sebagai Pusat Kebudayaan Eropah sekali gus merancakkan lagi industri pelancongan Turki.

Namun melawat Istanbul bukan semata-mata kerana tinggalan sejarahnya. Selain keindahan seni bina, ia juga dikunjungi kerana kehalusan budaya dan beraneka sajian makanan.

Salah satu daripada tarikan paling dikunjungi di Istanbul adalah Masjid Biru atau namanya Masjid Sultan Ahmed yang pernah menjadi pusat pentadbiran Khalifah Uthmaniyyah.

Dibina antara tahun 1609 hingga 1619, kehebatan seni bina Islam yang masih utuh berdiri itu adalah ikon pelancongan yang menghiasi poskad dan barang-barang cenderahati. Ia boleh dibezakan melalui enam batang menara berbentuk pensil dan kubah gergasi berwarna kelabu kebiruan.

Selain struktur yang gah, melawat Masjid Biru juga memberi peluang kepada pelancong menyaksikan keindahan hiasan dalaman yang dipenuhi kaligrafi ayat-ayat suci al-Quran.

Masjid yang pernah menjadi simbol penyatuan rakyat itu merangkumi pelbagai kemudahan sosial termasuk hospital, kolej, perpustakaan, pasar, dapur dan makam keluarga.

Selain Masjid Biru, Istanbul juga dipenuhi dengan seni bina yang melambangkan kegemilangan Islam pada masa lampau. Antara tarikan lain di Istanbul termasuk Masjid Suleyman, Masjid Fethiye dan Muzium Aya Sofia yang pernah berfungsi sebagai masjid dan gereja.

Untuk melihat susunan kota Istanbul dan keindahan bandar yang melata disekelilingnya, pelancong boleh melawat Menara Galata yang terletak tidak jauh dari muka muara Golden Horn.

Menara setinggi 70 meter yang mempunyai bumbung berbentuk kon itu merupakan menara batu tertua di dunia yang juga antara tarikan utama di Istanbul.

Dibina menggunakan kayu pada ketinggian 35 meter dari paras laut pada zaman Byzantine, ia diperkukuh semula dengan binaan batu pada 1348. Selepas penaklukan kerajaan Uthmaniyyah, Menara Galata dijadikan penjara sebelum berfungsi sebagai menara peninjauan bandar.

Dari puncak menara itu, pelawat boleh menyaksikan sebahagian besar daripada kota Istanbul yang mengadap muara Golden Horn antaranya Istana Topkapi, Masjid Biru, Masjid Suleyman, Aya Sopia, Masjid Yeni, Jambatan Galata dan Menara Beyazit.

Menara Galata beroperasi dengan dua lif yang membawa pelawat dari pintu masuk ke puncak menara yang turut dilengkapi restoran dan ruang tinjau.

Istanbul sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan keagungan zaman pemerintahan Uthamaniyyah dan seni binanya. Salah satu daripada kehebatan itu adalah Istana Topkapi yang terletak tidak jauh dari tebingan Sungai Bophorus, sempadan antara dua benua.

Selain menjadi bekas kediaman para pemerintah Khalifah Uthmaniyyah selama hampir 400 tahun (1465-1856), istana yang ditukar menjadi muzium oleh Presiden pertama Turki, Mustafa Kamal Attaturk itu turut menyimpan khazanah Islam yang tidak ternilai termasuk pedang dan kain mantel Nabi Muhammad.

Pada masa kini, tarikan utama di situ dimeriahkan dengan penganjuran majlis kerajaan, keraian dan hiburan.

Istana berkeluasan 700,000 meter persegi yang dilindungi oleh tembok sepanjang lima kilometer mempunyai empat laman dan bangunan-bangunan kecil. Pada zamannya, Istana Topkapi memuatkan kira-kira 4,000 penghuni pada satu-satu masa.

Satu lagi cara terbaik untuk kembali ke zaman kegemilangan kota itu adalah dengan menaiki bot persiaran di sepanjang Sungai Bosphorus.

Menyusuri perairan tersebut menyajikan keindahan bandar yang dipenuhi struktur bersejarah seperti Istana Dolmabahce, Kubu Rumeli, Besiktas, Sariyer dan Kanlica.

Persiaran yang bermula seawal pukul 10.30 pagi itu akan singgah di Kubu Anadolu untuk sesi kunjungan dan makan tengah hari sebelum ia berakhir di Eminonu.

Selain keindahan kota, Istanbul juga dikenali dengan produk dan barangan tempatan seperti karpet, perhiasan, barang kemas dan rempah-ratus. Bazar Utama Kapali Carsi merupakan satu lagi tarikan wajib di Istanbul.

Bazar yang menempatkan kira-kira 4,000 gerai di kawasan meliputi 50 lorong itu menerima kira-kira suku hingga setengah juta pelawat setiap hari, menjadikannya antara yang terbesar di dunia.

Bazar Kapali Carsi dibuka oleh Sultan Mehmed II pada 1461. Keluasan bazar berkenaan boleh dibayangkan melalui penyediaan dua buah masjid di dalam kawasan itu, barisan restoran dan air pancut yang disediakan untuk istirehat.

Bagi yang tidak kisah mengembara lebih jauh ke bahagian tengah Turki, keunikan kawasan pergunungan Cappadocia juga antara pilihan yang menyajikan pelancong seribu kejutan.

Cappadocia merupakan penempatan masyarakat Persia kuno di lereng bukit yang dibina dengan cara menebuk batu untuk dijadikan kediaman.

Penempatan sejak dari Zaman Gangsa yang dikelilingi formasi batu berbentuk kon itu merupakan tarikan pelancongan paling popular di Anatolia, bahagian tengah Turki.

Tuesday, 5 July 2011

LAPORAN PROGRAM KEM SMART SOLAT SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA KULAIJAYA, JOHOR DARUL TAKZIM


Tarikh:16-17 April 2011
Tempat:SMK Tunku Abd Rahman Putra, Kulaijaya
Anjuran:Biro Latihan dan Pembangunan Persatuan Mahasiswa 
Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor Darul Takzim
Laporan disediakan oleh: Nor Ashikin bt Alias 

Pada hari Sabtu, 16-17 April 2011 (12-13 Jamadil Awal 1432H) yang lalu, Biro Latihan dan Pembangunan Persatuan Mahasiswa Pendidikan telah berjaya menganjurkan satu program Kem Smart Solat di SMK Tunku Abdul Rahman Putra, Kulaijaya. Program ini bermatlamat untuk memberi kesedaran mengenai kepentingan solat di kalangan pelajar Sekolah Menengah Tunku Abd Rahman Putra bagi membantu pelajar menangani permasalahan sosial melalui penekanan tentang kepentingan solat dalam diri.
Program ini bermula pada jam 2.00 petang pada 16 April 2011 iaitu dengan pendaftaran peserta program Smart Solat di Surau, SMK Tunku Abd Rahman Putra, Kulaijaya. Peserta program terdiri daripada 40 pelajar tingkatan 2. Komitmen daripada pelajar sangat memberangsangkan.Program diteruskan dengan Slot 1, taklimat yang disampaikan oleh Saudara Hamizan b. Hamzah dengan tajuk “Solat antara Taklif & Anugerah”.  Pada pukul 4.30 petang pelajar dibenarkan untuk bersurai, minum petang dan Solat Asar secara berjemaah.Pelajar dikehendaki berkumpul kembali pada pukul 5.00 petang untuk riadah. Aktiviti riadah dikelola oleh Saudari Shahizah dengan sebuah permainan “Orang Baik dan Orang Jahat”. Dalam permainan ini, pelajar dikehendaki mengenalpasti siapakah orang jahat dalam kalangan mereka. Permainan ini menguji pelajar untuk lebih fokus, yakin diri dan berkebolehan untuk membela diri. Permainan ini turut menerapkan sikap kerjasama dan tidak mementingkan diri.

Pada pukul 7.15 malam pelajar berkumpul di surau untuk menunaikan solat Magrib dan Isyak secara berjemaah. Tepat pada pukul 9.00 malam pelajar dikehendaki untuk berkumpul di dalam dewan bagi menerima taklimat Program Smart Solat “Asas Dalam Solat & Kepentingan Solat Dalam Kehidupan”. Taklimat telah disampai oleh Saudara Syazwan dan sebelum taklimat bermula, bacaan Zikir Ma’thurat telah diketuai oleh beliau.

Pada keesokan harinya (17 April 2011), pelajar bangun seawal jam 5.00 pagi bagi Qiyam ul-lail dan solat Subuh berjemaah berimamkan Saudara Rahimi. Usai solat Subuh, Slot 5 berlangsung dengan Tazkirah  Subuh bertajuk “Sejarah Solat 5 Waktu” yang turut disampaikan oleh saudara Rahimi. Selepas Tazkirah, pelajar dibenarkan untuk bersarapan pagi dan riadah bermula jam 7.30 pagi. Selesai Solat Dhuha, Slot 6 “Simulasi Smart solat” bermula.  Pelajar diajar cara solat yang betul seterusnya simulasi solat dimulakan. Selepas simulasi solat dan wudhu’ selesai, pelajar diajar cara untuk bertayamum.


Majlis perasmian penutup diadakan pada pukul 12.00 tengah hari. Upacara dimulakan dengan bacaan doa oleh saudara Rahimi diikuti dengan ucapan pembukaan olah pengarah program iaitu saudara Azuwan dan diikuti dengan ucapan dan perasmian penutup oleh pengetua sekolah . Majlis diakhiri dengan montaj mengenai keseluruhan program dan tetamu- tetamu VVIP dijemput untuk menjamu selera di dewan makan.

Gambar Ketika Program Kem Smart Solat, Sek. Men. Keb. Tunku Abdul Rahman Putra, Kulaijaya
     

Sunday, 3 July 2011

PROGRAM KEY AMAL INDICATOR SEKOLAH KEBANGSAAN TAMAN DESA SKUDAI

Salah satu usaha bagi memohon dan mendapatkan pembiayaan/sumbangan/penajaan program Global Outeach Programme Turki 2012, pihak kami mengadakan bebarapa  bentuk program untuk membiayai pembelajaan program kami. Di antaranya termasuklah seperti program Kem Smart Solat, Program Jejak Universiti, Program Motivasi bersama pelajar sekolah (khusus kepada pelajar kelas peperiksaan), Treasure Hunt, Lawatan Universiti dan Majlis Pra-Graduasi, Program Kitar Semula dan pelbagai program yang lain. Program kami yang terbaru ini di namakan Program Key Amal Indicator. Program ini di adakan di Sekolah Kebangsaan Taman Desa Skudai, Skudai, Johor Darul Takzim

PENDAHULUAN PROGRAM KAI
Program Key Amal Indicator (KAI) Sekolah Kebangsaan Taman Desa Skudai merupakan satu program amal Mahasiswa Fakulti Pendidikan (Kursus 4-SPT) dalam membantu mempertingkatkan prestasi akademik pelajar di Sekolah Kebangsaan Sekolah Taman Desa Skudai. Program ini berasaskan model Mentor-Mantee di mana Mahasiswa UTM di jadikan ikon kecemerlangan kepada pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Desa Skudai. Antara aktiviti yang di adakan adalah seperti permainan yang menguji kemampuan pelajar memimpin, meningkatkan semangat belajar di kalangan pelajar, dan menaikkan semangat motivasi di kalangan pelajar melalui slot motivasi yang akan menambahkan semangat mereka. Selain dari itu Fasiltator UTM juga membantu pelajar melalui slot teknik menjawap soalan peperiksaan UPSR berdasarkan Kertas Soalan Peperiksaan UPSR sebenar. Di harap Usaha ini akan mendapat keredhaan dari Allah SWT.

MATLAMAT PROGRAM KAI
Memupuk kesedaran di kalangan Mahasiswa tentang tanggungjawab seorang sebagai
pemimpin serta bertujuan untuk memberi khidmat sosial sebagai Mahasiswa kepada
masyarakat luar terutama pelajar sekolah;
Menaikkan semangat pelajar sekolah mengenai kepentingan belajar melalui aktiviti, LDK, sot
Motivasi dan pelbagai teknik menjawap khusus bagi peperiksaan UPSR; dan
Memberi pendedahan kepada pelajar sekolah mengenai objektif, tujuan, dan matlamat
pelajar kepada diri sendiri, ibubapa, agama, dan negara.

JANGKA MASA PERLAKSANAAN PROGRAM KAI
2 Bulan bermula dari 25 Jun 2011 sehingga 20 Ogos 2011 (aktiviti di adakan pada setiap hari sabtu dengan selang masa dua minggu).

SENARAI FASILITATOR YANG TERLIBAT DALAM PELAKSANAAN PROGRAM KAI SEKOLAH KEBANGSAAN TAMAN DESA SKUDAI
Mohd Azuwan, Hamizan Bin Hamzah, Muhammad Zaki, dan  Nurul Farhana                     

IMPAK KEPADA PELAJAR YANG TERLIBAT
Diharapkan setelah para pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Desa Skudai menyertai semua program yang telah diadakan dan juga melalui semua slot yang di adakan, para pelajar ini akan mencapai 100 % kelulusan peperiksaan UPSR 2011. Selain itu diharapkan agar para pelajar dapat berubah dari segi pemikiran mereka ke arah cara hidup yang berlandaskan keilmuan, InsyaAllah.

BELANJAWAN PROGRAM KAI
Perbelanjaan bagi menjayakan program ini ditanggung sepenuhnya oleh pihak Sekolah.

PENUTUP
Diharap dengan terlaksananya program KAI dengan anjuran Sekolah Kebangsaan Taman Desa Skudai dengan kerjasama Mahasiswa 4-SPT, program ini dapat memberi manfaat dan pengalaman yang berguna kepada para pelajar dan juga  memberi pendedahan berguna kepada Mahasiswa UTM.